Projek perumahan baharu wajib patuhi garis panduan perancangan

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Semua projek perumahan baharu wajib mematuhi garis panduan perancangan serta syarat di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang menetapkan
penyediaan kawasan hijau, kemudahan awam dan ruang komuniti.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai mekanisme yang mewajibkan semua komponen tersebut perlu diperincikan pada peringkat permohonan kebenaran merancang.

Beliau berkata PBT turut akan melakukan pemeriksaan berkala semasa pembinaan bagi memastikan tiada pengurangan skop atau perubahan spesifikasi tanpa kelulusan.

Tegasnya, pemaju boleh dikenakan tindakan termasuk kompaun sekiranya gagal mematuhi syarat.

“Pemaju juga boleh diarahkan menghentikan kerja untuk membuat pembetulan. PBT turut melaksanakan pemantauan pascapembinaan bagi memastikan kawasan hijau, kemudahan masyarakat dan ruang interaksi dibina mengikut pelan yang diluluskan sebelum Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Aiman Athirah menjelaskan bahawa pihak KPKT terus memperkukuh proses kelulusan pembangunan melalui semakan PBT terhadap aspek seperti ruang interaksi sosial, kesinambungan laluan pejalan kaki, kawasan hijau berfungsi serta standard minimum ruang komuniti bagi setiap 100 unit kediaman bertingkat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bele @ Suziena Perian di Dewan Negara hari ini.

Hey there! Ask me anything!