KUALA LUMPUR, 13 November – Kerajaan komited memastikan identiti serta kesinambungan kampung-kampung tradisi di Wilayah Persekutuan terus dipelihara, seiring pembangunan pesat bandar raya.
- PSKL 2040 menegaskan pemeliharaan kualiti dan karakter kampung tradisi Melayu dalam pembangunan bandar pesat.
- Perancangan terperinci dan kawalan pembangunan dilaksanakan untuk mempertahankan identiti kampung.
- Penambahbaikan kemudahan masyarakat dan pengangkutan awam disasarkan tanpa menjejaskan nilai budaya setempat.
- Cadangan mekanisme TDR dan peruntukan kewangan khusus dicadangkan bagi memastikan kesinambungan pemilikan dan penyertaan Melayu Bumiputera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dasar dan pelan tindakan khusus telah digariskan bagi tujuan itu di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).
Beliau menjelaskan, PSKL 2040 menekankan usaha memelihara kualiti dan karakter kampung tradisi Melayu.
“Antara yang digariskan menerusi pelan tersebut ialah pelaksanaan kawalan perancangan terperinci, penambahbaikan kemudahan masyarakat dan pengangkutan awam, pelaksanaan program penjanaan semula tanpa menjejaskan nilai budaya setempat, serta kajian terhadap mekanisme Transfer of Development Right (TDR) bagi mengekalkan karakter kampung dalam jangka masa panjang.” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini.
“Terdapat keperluan untuk kita mewujudkan peruntukan kewangan khusus untuk memastikan pemilikan dan juga penyertaan Melayu Bumiputera di Kuala Lumpur ini. Kita perkasakan di peringkat awal. Saya juga sedang menyusun semula peruntukan kewangan sedia ada untuk kita mewujudkan peruntukan khusus dan baharu bagi tujuan ini dan walaupun mungkin kita boleh laksanakan secara pentadbiran terlebih dahulu,” katanya.##

