Pusat Siber Serantau Leonardo Malaysia perkukuh pertahanan siber negara

SHAH ALAM, 3 Disember – Kerajaan akan meneliti serta menilai kesesuaian konsep ‘Sovereign AI Cloud’ Leonardo sebagai usaha memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata inisiatif syarikat multinasional itu mampu menyokong keselamatan data, melindungi infrastruktur digital serta memperkukuh ekosistem siber negara secara menyeluruh.

“Saya juga sangat tertarik dengan pandangan pihak Leonardo yang telah berusaha untuk mewujudkan disebut sebagai atau pengkomputeran awan berdaulat di Itali dan kita akan teliti apa yang telah mereka berjaya lakukan. Sekiranya ada aspek-aspek yang boleh kita teladani, fahami cabaran yang mereka hadapi mungkin boleh menjadi pengajaran dan juga membantu kita dalam usaha untuk mewujudkan kita sebut sebagai Sovereign Cloud untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Siber Serantau Leonardo Malaysia di Shah Alam, Selangor.

Leonardo merupakan syarikat multinasional Itali yang pakar dalam bidang Aeroangkasa, Pertahanan, dan Keselamatan (AD&S) memilih Malaysia sebagai lokasi baharu Pusat Siber Serantaunya bagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam teknologi keselamatan global.

Jelas Datuk Fahmi, penubuhan pusat keselamatan siber tersebut disifatkan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Itali selain menjadikan negara ini sebagai peneraju keselamatan siber di rantau Asia Tenggara.

“Idea positif tersebut juga susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Rom tahun lalu, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia menjadi penyedia perkhidmatan keselamatan siber bagi negara-negara ASEAN, ” katanya.

Tambah Datuk Fahmi, pembukaan pusat tersebut juga tepat dan memberikan isyarat jelas kepada pasaran serantau, terutama ketika Malaysia menghampiri penghujung kepengerusian ASEAN.

Hey there! Ask me anything!