Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Hat Yai

KUALA LUMPUR, 29 November – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Hat Yai, Thailand buat sementara waktu.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, ia berikutan keadaan infrastruktur dan utiliti di kawasan berkenaan yang masih belum stabil dan pulih sepenuhnya selepas dilanda banjir.

Selain, berdepan risiko penyakit serta isu kebersihan yang perlu diberi perhatian.

Tambah beliau, tempoh selama tiga hingga empat minggu wajar diberikan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan menyelesaikan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan susulan bencana itu.

“Secara umumnya infrastruktur berada di atas permukaan. Jadi apabila berlaku banjir maknanya kabel-kabel dan sebagainya, elektrik dan telefon kebanyakkannya musnah. Jadi mengambil masa yang lebih lama untuk mereka pulihkan.”

“Sila beri masa untuk Hat Yai pulih sepenuhnya. Rakyat Malaysia yang ingin mengunjungi Hat Yai atau mana-mana lokasi lain dinasihatkan memaklumkan kehadiran mereka, supaya mudah dikesan sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Tambah Datuk Wan Zaidi, premis perniagaan dan hotel juga memerlukan masa untuk kembali beroperasi sepenuhnya dan bersedia menerima kedatangan pelancong.

Sementara itu, Konsul Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan membuat persiapan rapi sebelum merancang perjalanan.

“Pastikan anda mempunyai perlindungan insurans yang merangkumi bencana. Jika berlaku sesuatu, sekurang-kurangnya perlindungan atau liputan insurans itu dapat menampung kerugian,” katanya.

Datuk Wan Zaidi dan Ahmad Fahmi berkata demikian dalam sesi temu bual khas bersama RTM dan BERNAMA secara dalam talian di sini, hari ini.

Hey there! Ask me anything!