Rakyat Malaysia disaran guna aplikasi “MyWorldAlert” ketika di luar negara

KUALA LUMPUR, 29 November – Rakyat Malaysia disaran untuk mendaftar dan menggunakan aplikasi khas “MyWorldAlert” ketika berkunjung ke luar negara.

Aplikasi tersebut dibangunkan untuk mengumpul maklumat rakyat Malaysia bagi tujuan keselamatan.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, ia sekali gus memudahkan tindakan segera diambil pihak kedutaan sekiranya berlaku sebarang bencana dan kecemasan.

“Kementerian Luar telah membangunkan aplikasi ini untuk pengunjung Malaysia supaya dalam apa jua kecemasan atau bencana, lokasi mereka dapat dikenal pasti atau dikesan dengan lebih tepat supaya mereka boleh menjadi antara yang pertama diselamatkan.”

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual berkaitan pemindahan rakyat Malaysia di Hatyai menerusi dalam talian bersama RTM dan BERNAMA, hari ini.

“MyWorldAlert” juga menyediakan maklumat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan segera ketika di luar negara.

Ini termasuk menyediakan makluman berkaitan kedutaan Malaysia dan lokasi kedutaan atau suruhanjaya tinggi terdekat.

Hey there! Ask me anything!