Rancakkan MADANI catat lebih 502,000 pengunjung

PUTRAJAYA, 8 Disember – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 mencatat sambutan luar biasa dengan kehadiran 502,804 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 5 hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), turut merekodkan pelbagai pencapaian penting. Antaranya, jualan MADANI berjumlah RM2.15 juta, meliputi Jualan Usahawan, Jualan RAHMAH, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia, serta trak makanan. Inisiatif Padanan Perniagaan pula mencatat nilai melebihi RM400,000.

Menerusi satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, turut menjadi tumpuan kaunter bayaran kompaun saman terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masing-masing merekodkan kutipan RM98,330 dan RM36,143, menjadikan jumlah keseluruhan RM134,473.

Selain itu, seramai 1,252 individu berjaya menerima surat tawaran pekerjaan menerusi sesi temu duga terbuka yang dijalankan sepanjang program.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara serta kepimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri.

Program Rancakkan MADANI mengetengahkan kira-kira 500 pengisian aktiviti merangkumi lapan segmen utama: Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Produk Rakyat MADANI, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026, serta Kepengerusian ASEAN dan Diplomasi MADANI.

Turut dilancarkan beberapa inisiatif baharu kerajaan termasuk Sahabat Penggerak MADANI, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA serta Buku Malaysia Merdeka.

Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri menegaskan bahawa program ini menjadi platform terbaik untuk rakyat menilai secara langsung pencapaian dan perkembangan inisiatif Kerajaan MADANI sejak tiga tahun lalu. Beliau turut menekankan kepentingan penyampaian perkhidmatan dan manfaat kerajaan secara terus kepada rakyat melalui program seumpamanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, agensi dan pihak yang menjayakan penganjuran tersebut. Sokongan padu rakyat yang hadir turut mencerminkan keyakinan terhadap usaha kerajaan meneruskan agenda pembaharuan negara.

Hey there! Ask me anything!