LIMBANG, 7 Disember – Seorang lelaki warga emas, Renggi Minggat, 70 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui selamat petang tadi.
Renggi Minggat mendakwa, dia mengekori jejak seorang ‘wanita cantik’ sebelum tersesat lebih 10 kilometer dalam kebun durian.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, lelaki dari Kampung Merasam Darat ditemui dalam keadaan lemah pada 3.30 petang tadi, selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang di kebun duriannya.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia ditemani wanita ketika menebang pokok durian dan mengekorinya ke dalam hutan.
“Mangsa ditemukan orang kampung di sebuah pondok tepi jalan, setelah mangsa berjaya keluar ke tepi jalan raya utama tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang,” kata Parum Niot.
Mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan kesihatan. Warga emas itu dilaporkan hilang semalam selepas keluar rumah untuk ke kebun durian di Kampung Merasam Darat, Limbang.
Seleas menerima laporan berkenaan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang serta penduduk kampung melakukan pencarian Renggi Minggat.