PETALING JAYA, 6 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga 7.00 malam ini.
MET Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan cuaca tersebut dijangka melanda seluruh negeri Pulau Pinang, beberapa kawasan di negeri Kedah (Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Manjung).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang), Pahang (Lipis, Jerantut dan Maran), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Langat) serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Sementara itu, di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau) dan Sabah melibatkan pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat.