Ribut Tropika Senyar: 119 insiden diselesaikan, Negeri Sembilan kini stabil

SEREMBAN, 29 November – Sebanyak 34 kes banjir di 54 kawasan berisiko, 83 kes pokok tumbang dan dua kes tanah runtuh berjaya ditangani Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan selepas Ribut Tropika Senyar membadai negeri itu sejak 27 November lalu.

JBPM Negeri Sembilan menyifatkan situasi tersebut sebagai melegakan kerana semua insiden dapat diurus dengan segera dan berkesan.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM, Zamhuri Zainnordin, keadaan seluruh negeri itu semakin stabil.

Penduduk terjejas sudah dibenarkan pulang, namun mereka masih perlu berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.

“Dari segi pemantauan, pihak bomba telah menjalankan pemeriksaan di 54 kawasan banjir. Pada masa yang sama, sehingga kini kita juga telah mengendalikan beberapa kes penyelamatan dan khidmat khas lain, antaranya 83 kes pokok tumbang serta dua kes tanah runtuh yang berlaku di Seremban semalam.

“Keadaan ketika ini stabil dan mangsa-mangsa banjir masih berada di PPS. Untuk kawasan yang terjejas seperti Taman Markisah, Taman Jijan di Nilai, Jalan Kampung Kubang, Kampung Jimah Lama di Port Dickson serta Pengkalan Kempas, keadaan juga sudah kembali stabil. Pihak bomba kini berada dalam keadaan siap siaga melibatkan 21 balai di seluruh Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui Kru RTM di Bilik Gerakan Operasi Seremban 2.

JBPM turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa siap siaga untuk berpindah ke tempat yang selamat atau menunggu sehingga bantuan sampai sekiranya hujan lebat berterusan berlaku.

Hey there! Ask me anything!