Risikan terhadap risiko ancaman kepada negara dipertingkat

KUALA LUMPUR, 17 November – Memperkukuh risikan terhadap risiko ancaman kepada keamanan dan kestabilan negara antara pendekatan proaktif diambil kerajaan bagi mengelakkan rusuhan awam seperti di Indonesia dan Nepal daripada berlaku di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, strategi lain termasuk mengumpul maklumat, memantau setiap isu yang berbangkit.

Kementerian turut menjalankan kolaborasi dengan agensi kerajaan supaya isu berkaitan dapat ditangani serta tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan dengan PDRM dan (pihak) penganjur bagi memastikan penganjuran perhimpunan tidak mengikut isu-isu yang memberi ancaman dan menggugat keselamatan awam. “

“Dan juga meningkatkan latihan kesiapsiagaan menerusi latihan kawalan rusuhan, kawalan penugasan khas serta penggunaan teknologi moden seperti kamera di badan, dron dan CCTV (rakaman kamera litar tertutup), ” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengenai langkah kesediaan dan strategi kerajaan memastikan keamanan negara khususnya bagi mengelakkan tercetusnya rusuhan awam seperti di Indonesia dan Nepal yang berpunca daripada tekanan kos sara hidup, ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan, isu sosial dan politik. 

Hey there! Ask me anything!