RM80 juta naik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya seluruh negara

KUALA LANGAT, 26 November – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Program MYJalan terus memperhebat usaha menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di seluruh negara, khususnya di lokasi sering berlaku kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKR peruntuk RM80 juta untuk naik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di lokasi kerap kemalangan.
  • Rawatan di 90 kawasan kerap kemalangan bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian.
  • Pemasangan 257 lampu jalan baharu dan 16 lampu isyarat di laluan serta persimpangan berisiko.
  • Pembinaan empat jejantas dan 35 lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat di lokasi strategik.
  • Kolaborasi KKR–JKR–WHO melalui program BIGRS sokong sasaran kurangkan kematian jalan raya 50% menjelang 2030.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan untuk pelaksanaan pelbagai komponen keselamatan, termasuk rawatan di 90 kawasan sering berlaku kemalangan, pemasangan 257 lampu jalan baharu di laluan berisiko akibat keadaan jalan gelap, pembinaan 16 lampu isyarat baharu di persimpangan berbahaya, serta pembinaan empat jejantas pejalan kaki di lokasi strategik seluruh negara.

Turut dilaksanakan ialah pembinaan 35 lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat (LPKSI) yang semakin menjadi keperluan di kawasan sekolah dan kawasan tumpuan awam.

Sebanyak 153 LPKSI telah dibina di seluruh negara sejak tahun 2018, membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan pelintas jalan yang lebih selamat dan mudah diakses oleh rakyat.

“Inisiatif digerakkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyokong sasaran negara mengurangkan kadar kematian kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030, seperti digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030.” kata
beliau selepas merasmikan projek lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Gadong di sini.

Projek tersebut merupakan projek rintis yang pertama melalui kolaborasi KKR dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui program Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety (BIGRS), melibatkan kos berjumlah RM700,000.

Lintasan baharu itu dibangunkan bagi memastikan keselamatan murid sekolah serta komuniti setempat ketika melintas jalan utama, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan dan kemalangan.

Hey there! Ask me anything!