RTM raih empat anugerah pada Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025

KUALA LUMPUR, 18 Disember – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraih empat anugerah pada Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 menerusi Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, Anugerah Infografik Video dan dua Anugerah Media Penyampaian Radio.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di ibu negara.

Juara kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dirangkul Iswadiman Shamsuddin dan Morhalim Mohammed dalam pelaporan bertajuk ‘Badang Kinabalu-Peralatan Seberat 4 Tan Bukan Halangan (Siri 1)’ dan ‘Stesen Layang-Layang Radius Lebih Luas (Siri 2)’.

Iswadiman berkata kejayaan yang diraih bermula daripada tugasan tanpa perancangan awal apabila beliau bersama pasukan perlu mendaki hingga ke kaki Gunung Kinabalu bagi membuat laporan khas tersebut,sekali gus membawa kejayaan kepada RTM secara keseluruhan.

“Kami akan terus berusaha membawakan kisah-kisah menarik menerusi berita RTM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan negara,” katanya ketika ditemui RTM selepas penyampaian anugerah tersebut di sini.

Sementara itu, Juara kategori Anugerah Media Penyampaian Radio menjadi milik Nor Ain Abu Bakar menerusi dokumentari bertajuk ‘Kad Hijau – Lesen Selamat di Tapak Binaan’.

Bagi Nor Ain, pengiktirafan itu disambut dengan penuh rasa syukur dan penghargaan terhadap sokongan berterusan sepanjang kerjayanya.

“Sebenarnya kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya kejayaan bersama RTM Perak kerana ia melibatkan kerja berpasukan. Saya berharap penghargaan ini menjadi suntikan semangat untuk terus menghasilkan bahan yang lebih berkualiti,” katanya.

Bagi kategori sama RTM juga terima hadiah di tempat ketiga menerusi dokumentari ‘Pencakar Langit: Pemandu Kren Menara’ laporan Noor Sharidah Shaffie.

Noor Sharidah menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengalaman bermakna memandangkan ia merupakan penyertaan pertamanya.

“Ini penyertaan pertama saya dan tidak menyangka dokumentari ini terpilih. Kejayaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya untuk semua, khususnya warga Bahagian Radio,” katanya.

RTM turut memenangi Hadiah Merit dalam kategori Anugerah Infografik Video menerusi Shaiful Hairy Ahmad Sabiron.

“Sebagai pengamal media, kita boleh menyampaikan maklumat kepada khalayak dengan lebih padat dan jelas melalui infografik. Ia juga platform terbaik untuk dikembangkan sebagai potensi dalam RTM,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.