Rumah Panjang Nanga Engkuah berwajah baharu

SONG, 7 Disember – Program Kampung Angkat MADANI di Rumah Panjang Nanga Engkuah di daerah Song, berjaya mengubah lanskap pembangunan fizikal di tiga buah rumah panjang di kawasan tersebut. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi projek berkenaan ia membawa pembangunan menyeluruh dengan hanya empat lokasi dipilih di Sarawak pada tahun 2024. 

Perkampungan Nanga Engkuah meliputi Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong dan terletak kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan bot panjang dari pekan Song. 

“Skop projek ini merangkumi pembinaan dua jambatan pejalan kaki baharu yang menghubungkan ketiga-tiga rumah panjang berkenaan. Ini bukan sekadar jambatan biasa kerana kawasan antara ketiga-tiga rumah panjang itu mempunyai cerun dan keadaan struktur yang mencabar. Sebab itu projek ini amat penting.

“Selain itu, turut dipasang sistem lampu solar bagi menerangi laluan yang sebelum ini berada dalam keadaan gelap. Kini, pemasangan lampu solar tersebut telah menjadikan kawasan ini lebih ceria, selamat dan selesa untuk penduduk di sekitar kampung itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI 2024 Kementerian Kerja Raya di perkampungan Nanga Engkuah, Ulu Katibas, di sini.

Turut dinaik taraf ialah pondok menunggu bagi memudahkan laluan pejalan kaki yang menghubungkan ketiga-tiga rumah panjang tersebut.

“Sebelum adanya jalan simen, mereka terpaksa berjalan di atas laluan tanah untuk ke rumah panjang berdekatan. Kadangkala laluan itu menjadi berlumpur, terutama ketika musim hujan,” katanya lagi.

Projek itu merupakan hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dengan peruntukan kira-kira RM4 juta.

Datuk Seri Alexander, yang juga Ahli Parlimen Kapit, menjelaskan bahawa pada peringkat awal projek tersebut hanya memperuntukkan RM2.5 juta.

Bagi 2026, kesinambungan program berkenaan bergantung kepada keputusan kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekiranya program itu diteruskan, pihaknya telah mengenal pasti kawasan serta keperluan yang akan diberikan keutamaan dalam pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI.

Hey there! Ask me anything!