KUALA LUMPUR, 3 Disember – Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 berupaya meningkatkan kapasiti dan keberkesanan fungsi-fungsi utama FINAS dalam menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan industri perfileman negara.
KUALA LUMPUR, 3 Disember – Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 bertujuan meningkatkan kapasiti dan keberkesanan FINAS dalam menggalak, memelihara, dan memudahkan kemajuan industri perfileman negara.
RUU yang dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu juga memastikan perkembangan bakat dan inovasi dapat berlangsung dalam ekosistem perfileman yang lebih tersusun dan teratur.
Menurut beliau, industri perfileman negara kini berada pada fasa transisi signifikan, selari dengan perkembangan teknologi baharu.
Keadaan ini menuntut penyelarasan semula kerangka perundangan agar tetap relevan dan progresif.
“Ekosistem pawagam di Malaysia semakin berkembang walaupun terdapat platform digital baharu seperti over-the-top (OTT). Pawagam masih kekal relevan berdasarkan data kutipan tiket, dan industri filem negara turut didorong oleh peningkatan pelaburan asing,” katanya.
Datuk Fahmi menegaskan bahawa RUU Pindaan 2025 bukan sahaja memperkukuh tadbir urus dan kawal selia FINAS, tetapi juga menyelaras dan meningkatkan pematuhan penggiat industri perfileman.
“Ini bertujuan memastikan ekosistem industri perfileman kekal terpelihara, profesional, dan berintegriti, seiring kemajuan teknologi dan perubahan landskap semasa,” katanya.