Sambutan Hari Kanak-Kanak, platform penting perkukuh komitmen bersama – Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 30 November – Sambutan Hari Kanak-Kanak merupakan platform penting bagi memperkukuh komitmen bersama dalam memastikan pembangunan kanak-kanak khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada pada landasan terbaik.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha itu memerlukan kerjasama menyeluruh merangkumi agensi kerajaan, sektor swasta, komuniti dan individu bagi mewujudkan persekitaran selamat serta kondusif untuk kanak-kanak membesar.

Beliau berkata, corak pemikiran tepat serta kefahaman mendalam mengenai kepentingan melindungi kanak-kanak mampu membantu melahirkan generasi baharu yang seimbang.

“Apa yang kita mahukan adalah keselamatan, kesihatan, pendidikan, persekitaran yang baik dan selamat untuk kanak-kanak demi masa depan lebih baik daripada kita lalui.

“Kita mahu corak pemikiran, apabila ada tadika-tadika ini, ada yang boleh kita sama-sama bantu membangunkan insan yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, persekitaran dan cara mendidik serta mengawasi anak-anak memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan mereka.

“Memang kita tahu bahawa setiap anak yang dilahirkan, diibaratkan kain putih. Ibu bapalah yang mewarnai dan mencorakkan bagaimana anak itu dan juga persekitaran,” katanya lagi.

Tambah beliau, usaha membentuk generasi bernilai selari dengan konsep Malaysia MADANI perlu berteraskan nilai kemanusiaan, hati nurani dan naluri yang murni.

Hey there! Ask me anything!