BAGAN DATUK, 23 November -Pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji akan terus dipertingkat melalui pelaksanaan saringan dan ujian wajib sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, saringan tersebut meliputi penilaian penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan isu berat badan yang dilakukan secara rutin.
Beliau berkata, prestasi kesihatan jemaah Malaysia sentiasa dipertingkat bagi memastikan negara kekal antara yang mempunyai rekod kesihatan terbaik pada musim haji.
“Sama ada daripada sudut yang disebutkan hal-hal yang terkait dengan penyakit-penyakit kronik itu. Ya. Kalau mereka ada darah tinggi ya juga berat badan sebagainya. Itu adalah pemeriksaan yang kita buat. Cara rutin kita akan pertingkatkan usaha ini mereka juga berhak untuk melakukan haji dan kita akan memberikan segala fasiliti untuk mereka,” katanya di sini.
Menurutnya, pemeriksaan dan saringan dilakukan berterusan sehingga saat-saat akhir sebelum jemaah berangkat bagi memastikan tahap kesihatan mereka benar-benar bersedia.
Datuk Seri Dr Dzulkefly menegaskan bahawa jemaah Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk pengguna kerusi roda turut berhak menunaikan haji dan akan dibantu sepenuhnya dengan fasiliti serta kemudahan yang disediakan.