SHAH ALAM, 17 November – Selangor menyasarkan tempoh paling awal untuk memulakan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam masa lima tahun.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini di fasa awal penerokaan termasuk pembangunan kepakaran dan pembinaan kapasiti.
Beberapa pegawai akan dihantar bagi mengikuti bidang kejuruteraan nuklear, selain kerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah menyatakan kesediaan untuk terlibat.
Dalam pada itu, beliau mengakui bidang nuklear di Malaysia masih kurang diterokai sehingga ada pelajar tempatan terpaksa mencari peluang kajian di luar negara.
“Bila kita lihat memang sebenarnya bidang ini tidak diberikan penerokaan. Saya jumpa sendiri pelajar kita daripada Malaysia yang belajar di Tsinghua University. Mereka buat sendiri, mereka explore (teroka) sendiri sampai ke sana. Seolah-olah kerana kita lihat nuklear ini sebagai salah satu daripada sektor yang tidak layak untuk kita terokai.”
“Tapi di masa depan kita harus bersedia kerana kita tidak mampu untuk bergantung sepenuhnya dengan sumber bahan bakar api daripada fosil semata seperti gas dan juga arang batu yang ternyata lebih tidak sustainable (mampan) berbanding dengan nuklear dan sebagainya.” ujarnya lagi.
Datuk Seri Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid mengenai perancangan dan anggaran tempoh pelaksanaan penuh tenaga bersih berasaskan nuklear pada persidangan DUN Selangor di Shah Alam.