CYBERJAYA, 5 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua parti sebelum memuktamadkan senarai nama bagi mengisi beberapa kekosongan Kabinet, dalam tempoh terdekat.
Datuk Seri Anwar berkata, walaupun urusan penyusunan barisan Jemaah Menteri merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri, pandangan rakan-rakan dalam kerajaan tetap diberi perhatian selaras amalan demokrasi.
“Proses itu penting untuk memastikan setiap lantikan dibuat dengan pertimbangan sewajarnya, mengambil kira kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara yang sedang dilaksana,”katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10.
Perdana Menteri turut memberi bayangan rombakan Kabinet yang akan diumumkan tidak melibatkan perubahan besar-besaran, sebaliknya hanya bertujuan mengisi jawatan yang kini kosong.