SMK Kanowit lengkap kemudahan baharu, 18 bilik darjah siap dua bulan lebih awal

KANOWIT, 6 Disember – Ekosistem pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit kini lebih kondusif dengan siapnya projek pembinaan baharu melibatkan 18 bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, projek yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 Sarawak (PPK2 Sarawak) itu telah disiapkan sepenuhnya pada 5 November 2025, dua bulan lebih awal daripada jadual asal.

Projek yang bermula pada 14 Januari 2023 itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM49.9 juta, termasuk pembangunan blok pentadbiran, blok akademik dengan 18 bilik darjah, surau, bengkel RBT, makmal komputer, makmal sains integrasi, makmal kimia serta dua bilik resos.

Selain itu, kemudahan sokongan turut disediakan seperti gelanggang permainan, pondok menunggu, pondok basikal, pondok pengawal, bilik pam dan bomba serta bilik elektrik utama.

“Projek ini memberi makna besar kepada pelajar, guru serta kakitangan sekolah dalam menyokong penyampaian pendidikan yang kondusif, berkualiti dan mampan,” katanya.

Beliau menambah, Jabatan Kerja Raya Malaysia diminta memantau rapi pelaksanaan kerja sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) bagi memastikan tiada isu tertangguh selepas serahan bangunan.

KKR menegaskan kementerian akan terus memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan ketelusan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan kualiti infrastruktur.

0612 SWK LINGGI SEKOLAH BARU KANOWITFOTO FB Alexander Nanta Linggi

Hey there! Ask me anything!