Status calon simpanan pegawai farmasi digesa diaktifkan semula, percepat lantikan tetap

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Isu nasib Pegawai Farmasi lantikan kontrak mendapat perhatian di Dewan Negara.

Senator, Lingeshwaran R. Arunasalam menggesa kerajaan mengaktifkan semula status ‘Calon Simpanan’ bagi kumpulan berkenaan serta-merta.

Langkah itu penting bagi memastikan proses pelantikan tetap dapat dipercepatkan sebelum kontrak mereka berakhir tahun hadapan.

Menerusi pengambilan Julai tahun lalu, seramai 1,330 Pegawai Farmasi Kontrak telah dilantik, namun hanya 600 diserap ke jawatan tetap, manakala 730 lagi gagal mendapat lantikan meskipun berada dalam senarai simpanan.

”Keadaan ini bukan sahaja menjelaskan moral, malah menzalimi pegawai senior yang bakal tamat kontrak pada april dan julai 2026 kerana mereka ini terpaksa bersaing dengan pengawai junior serta bekas pegawai yang pernah meletak jawatan secara sukarela.

“Adalah tidak wajar senioriti dan kesetiaan mereka dipandang sepi, ditambah pula dengan keputusan KKM untuk tidak menawarkan penyambungan kontrak selepas tempoh 5 tahun,” katanya.

Lingeshwaran dalam pada itu turut menyarankan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak lebih tegas melindungi petugas kesihatan barisan hadapan yang sering menjadi mangsa kecaman apabila gambar mereka menggunakan telefon bimbit semasa bertugas tular di media sosial.

Beliau menjelaskan dalam era digital, telefon pintar merupakan keperluan kerja untuk menyemak sistem temu janji, membuat rujukan kepada doktor dan mengesan rekod pesakit yang tidak hadir.

Justeru, tuduhan yang dilemparkan hanya bersandarkan sekeping gambar yang tular tidak mencerminkan situasi sebenar ketika petugas berkenaan menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara.

Hey there! Ask me anything!