Tabung Bencana KPKM diaktifkan, bantu petani berdepan pascabanjir

SERDANG, 3 Disember – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyalurkan bantuan kepada petani yang terjejas banjir baru-baru ini melalui Tabung Bencana KPKM, setelah memperoleh data dan angka rasmi berkaitan kerosakan yang dialami.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penggunaan tabung berkenaan bergantung kepada situasi semasa pada setiap musim bencana dan tidak diaktifkan secara ‘one-off’ atau sekali beri.

“Seperti yang berlaku pada masa ini, banjir di Kedah dan Perlis baru sahaja surut, dan kita akan memperoleh angka sebenar kerosakan dalam beberapa hari lagi. Selepas itu, kita akan menggunakan Tabung Bencana bagi membantu para petani dan nelayan yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak kementerian juga masih belum memperoleh data rasmi mengenai jumlah negeri yang terjejas kerana pasukan KPKM hanya dapat menjalankan penilaian kerosakan setelah banjir surut sepenuhnya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Bencana Pertanian tahun ini bagi membantu penduduk yang terkesan bencana seperti banjir dan kemarau.

Hey there! Ask me anything!