KOTA BHARU, 3 Disember – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri (8 Briged) bersiap sedia untuk membantu penugasan di kawasan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Gua Musang-Lojing.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Mohamad Nizam Abdul Manap berkata, pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada pihak pengurusan tertinggi untuk menjalankan penugasan di kawasan kejadian.
“Untuk kejadian tanah runtuh itu, kami memang telah menerima laporan daripada peringkat pengurusan bencana negeri. Namun, penugasan kami hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada pihak atasan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kepada 188 bakal pesara ATM dari Kelantan, Terengganu dan Pahang di sini, pada Rabu.
JKR Gua Musang dalam kenyataan memaklumkan, Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6, berhampiran Pos Blau, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai hari ini susulan kejadian tanah runtuh.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif sementara.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua di Kelantan dan Terengganu, pihaknya akan mengekalkan kekuatan lebih 1,000 anggota dan telah menerima beberapa penambahan aset daripada Markas Divisyen 2 seperti bot untuk menampung keperluan semasa.