Tanah runtuh Lojing jejas 5,000 penduduk orang Asli

GUA MUSANG, 4 Disember – Lebih 5,000 penduduk orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di sekitar Tanah Tinggi Lojing berdepan kesukaran jalan perhubungan selepas laluan di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau, Gua Musang, Kelantan ditutup akibat tanah runtuh.

Penghulu Pos Blau, Salleh Angah berkata, rutin harian penduduk di tiga buah kampung di Pos Blau iaitu Kampung Selyeh, Kampung Kelaik dan Kampung Om juga terjejas apabila tidak dapat menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Blau.

Penduduk di Pos Brooke juga terpaksa menggunakan laluan jalan Sungai Koyan, Pahang bagi mengambil anak mereka yang tinggal di asrama di bandar Gua Musang.

“Apabila terputus hubungan begini, kita sendiri menerima tempiasnya untuk urusan harian. Malah di agensi dan jabatan, termasuk di ladang serta sekolah, semuanya terbantut.

“Rakan-rakan di Lojing pun memaklumkan bahawa memang tidak boleh bergerak langsung. Dalam situasi bencana seperti ini, kita berharap segala urusan dipermudahkan dan jalan dapat dipulihkan segera, termasuk pembinaan jalan alternatif untuk memudahkan pergerakan kita,” katanya.

Bagi Penduduk Pos Blau, Jidi Marijah, penduduk terjejas berdepan kesukaran apabila jalan utama terputus.

“Sekarang jalan sudah terputus, nak bergerak pun memang tak boleh. Anak kami yang bekerja di Cameron Highlands (CH) pun tak dapat pergi kerana jalan tidak boleh dilalui. Sebahagian lagi bekerja di ladang sayur di CH. Kini mereka tak dapat bekerja dan hanya duduk di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Blau, Bakar Halim berkata, keadaan tersebut menyebabkan anak-anak tidak dapat ke sekolah.

“Apabila laluan utama ke Cameron Highlands dan ke Pejabat JAKOA Pos Brooke terputus, penduduk dari Pos Blau dan kampung-kampung terlibat juga tidak dapat ke sekolah. Dengan jalan terputus, pengangkutan langsung tidak boleh melalui kawasan itu,” katanya.

Sebelum ini, pergerakan aliran air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian jalan runtuh di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam Rabu itu, sebahagian besar jalan di laluan terbabit runtuh menjadi seperti kawah besar sehingga terpaksa ditutup kepada semua kenderaan termasuk motosikal.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, runtuhan tanah melibatkan kawasan jalan sepanjang 120 meter dengan kedalaman 30 sehingga 35 meter

Hey there! Ask me anything!