TBB perkasa bekalan elektrik pedalaman Sarawak

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Dasar Kerajaan dalam memperluaskan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di kawasan pedalaman Sarawak dilaksana secara berfasa bagi memastikan lebih banyak penempatan luar bandar menikmati bekalan elektrik stabil menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, berkata usaha itu selaras dengan Dasar Tenaga Negara (DTN 2022-2040) serta Sarawak Electricity Master Plan 2025-2030, yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi bersih dan mampan untuk menyalurkan bekalan elektrik ke kawasan yang jauh daripada grid utama.

“Bagi kawasan yang terlalu terpencil, penyelesaian sambungan grid bukan pilihan sesuai kerana melibatkan kos yang tinggi serta halangan geografi yang ketara.

“Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) melalui pendekatan tenaga boleh baharu berasaskan sistem solar hibrid dan mini hidro, yang lebih praktikal dan menjimatkan,” katanya menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beberapa projek BELB disenaraikan bagi 2026 termasuk pembinaan Sistem Mini Hidro di Long Busang, Belaga, projek perintis yang menggabungkan teknologi solar dan mini hidro, serta pelaksanaan sistem solar hibrid di Telang Usan, Katibas, dan Song, menaik taraf stesen solar hibrid di Bario Central dan Long Bedian, dan meneruskan Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES) Fasa 3.

Datuk Rubiah menegaskan pelaksanaan projek ini akan mengurangkan jumlah kampung yang belum menerima bekalan elektrik stabil, seiring komitmen kerajaan memperkasa pembangunan luar bandar.

Menjawab soalan tambahan mengenai keupayaan tenaga kerja untuk memastikan sistem solar diselenggara segera, beliau berkata KKDW melaksanakan model operasi bersepadu bersama Sarawak Energy Berhad (SEB), agensi utiliti tunggal negeri Sarawak sejak 2022.

Model ini merangkumi penyediaan tenaga kerja termasuk jurutera elektrik, juruteknik solar hibrid, pasukan penyelenggaraan lapangan dan pasukan sokongan pemantauan jarak jauh.

“KKDW menyediakan lebih RM60 juta setahun bagi operasi dan penyelenggaraan projek solar dan mini hidro di kawasan pedalaman jauh seperti Belaga, Bukit Mabong, dan Song.

“Pendekatan ini membolehkan masa tindak balas bagi kegagalan sistem dipendekkan antara enam hingga 48 jam, bergantung jarak dan keadaan cuaca,” katanya.

Hey there! Ask me anything!