KUALA LUMPUR, 1 Disember – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang akan menamatkan tugasnya berkuat kuasa esok, dijangka menerima pelantikan baharu yang akan diumumkan pada 3 Disember ini.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pengumuman tersebut akan dibuat selepas perbincangan bersama Tengku Zafrul mengenai kesinambungan tugasnya selepas tidak lagi mengetuai kementerian berkenaan.
“Saya ambil kesempatan ini kerana Tengku Zafrul tak lama lagi selesai di sini. Dia masih ada tanggungjawab dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Saya maklumkan kepada beliau bahawa tugasnya sebagai Menteri MITI tamat pada 2 Disember, dan beliau akan terus menyambung kerja baharu yang akan saya umumkan pada 3 Disember,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu turut membawa isyarat penghargaan terhadap sumbangan Tengku Zafrul, khususnya dalam memperkukuh jaringan perdagangan antarabangsa negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) Pertama Perodua di ibu negara.