KUALA LUMPUR, 17 November – TH Plantations Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Borhan Bachi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu berkuat kuasa hari ini, 17 November 2025.
- Datuk Borhan Bachi dilantik sebagai CEO TH Plantations berkuat kuasa 17 November 2025.
- Penubuhan jawatankuasa eksekutif lembaga pada 18 Julai 2025 dirujuk dalam pengumuman.
- Jawatankuasa lembaga tersebut dibubarkan berkuat kuasa 17 November 2025.
- Bekas CEO dan CFO disiasat berkaitan dakwaan pembayaran tanpa kelulusan RM5.1 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TH Plantations berkata pengumuman tersebut turut merujuk kepada penubuhan jawatankuasa eksekutif lembaga pada 18 Julai, 2025.
“Sehubungan itu, lembaga pengarah TH Plantations memaklumkan bahawa jawatankuasa lembaga tersebut dibubarkan berkuat kuasa 17 November 2025,” kata syarikat itu.
Sebelum ini, bekas CEO TH Plantations Mohamed Zainurin Mohamed Zain dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Marliyana Omar diberikan surat tunjuk sebab berhubung dakwaan pembayaran tanpa kelulusan berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.
Mohamed Zainurin kemudian diarahkan mengambil cuti khas sebelum ditamatkan perkhidmatan pada 26 Ogos, manakala Marliyana memilih untuk meletakkan jawatan serta-merta pada 18 Julai.
Mohamed Zainurin dilantik sebagai CEO syarikat itu pada 1 Oktober 2021.-BERNAMA