KUALA NERUS, 21 November – Lembaga Tabung Haji memberi tumpuan memperkukuh proses, tadbir urus serta penjenamaan semula supaya mampu menawarkan pulangan lebih stabil kepada penyimpannya dalam jangka panjang.
- Memperkukuh proses, tadbir urus dan penjenamaan semula untuk pulangan simpanan lebih stabil jangka panjang.
- Fokus strategi menarik pendeposit muda untuk meningkatkan kadar penyertaan dan simpanan.
- Pastikan dividen kekal kompetitif agar pendeposit mampu menampung kos haji dan perkhidmatan.
- Usaha meningkatkan simpanan penting kerana lebih separuh akaun mempunyai baki bawah RM1,000.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata fokus diberi kepada strategi untuk menarik pendeposit golongan muda, selain memastikan dividen kekal kompetitif.
Strategi itu sebagai usaha membantu meningkatkan pendeposit Tabung Haji bagi melayakkan mereka menerima tawaran haji.
Beliau mengulas susulan lebih 50 peratus bakal jemaah yang terpaksa menolak tawaran haji berikutan kekangan kewangan dan tahap simpanan rendah.
“Ketika ini lebih separuh akaun pendeposit Tabung Haji mempunyai simpanan bawah RM1,000, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka menampung kos perjalanan, perkhidmatan dan keperluan asas sepanjang ibadah haji,” kata beliau selepas merasmikan Program Tanweer MADANI (Pemukiman Zamalah) di sini.
“Kita yakin dengan kemampuan Tabung Haji sebagai institusi yang menjaga. Tabung Haji adalah pengurusan haji terbaik di dunia yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sendiri. Kita yakin dengan kemampuan dan juga pengurusannya yang terbaik di peringkat dunia,” kata beliau.

