KUALA LUMPUR, 4 Disember – Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dibenar mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal dan membenarkan penggunaan Logo Halal Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, sebarang label, istilah atau simbol yang membawa maksud halal oleh pihak lain adalah dianggap tidak sah dan melanggar peraturan.
Hanya JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri dibenar mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal Malaysia selaras Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Kerajaan memandang serius sebarang penggunaan istilah yang boleh mengelirukan pengguna. Kerajaan juga bertegas bahawa penggunaan istilah seperti ‘Muslim Choice’ atau apa-apa istilah seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, termasuk ‘Muslim Friendly Watch’, bukanlah perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
“Penggunaan istilah sedemikian telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
“Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 menetapkan dengan jelas bahawa hanya JAKIM serta Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan memberi kebenaran penggunaan Logo Halal Malaysia,” katanya.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad berkenaan tindakan kerajaan terhadap organisasi Muslim Friendly Watch (MFW) yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim apabila memperkenalkan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ terhadap produk atau premis tertentu.
Susulan arahan JAKIM, MFW telah diarah menarik balik pengiktirafan ‘Muslim Choice’. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya pertubuhan itu meneruskan aktiviti sedemikian.
Pemeriksaan turut dilakukan terhadap premis-premis yang memaparkan label tersebut, dan arahan serta-merta telah dikeluarkan supaya ia diturunkan.