KUALA LUMPUR, 17 November – Tiga akta bakal dipinda tahun hadapan bagi membolehkan Sistem Kutipan Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan. Akta terlibat adalah Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Lebuhraya Malaysia.
- Pindaan tiga akta diperlukan bagi melaksanakan Sistem Kutipan Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
- Akta yang terlibat: Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Lebuhraya Malaysia.
- Pindaan diperlukan untuk menangani kesalahan tidak membayar tol selepas palang tol dihapuskan.
- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kemungkinan besar akan bertanggungjawab untuk penguatkuasaan.
- Kerajaan sokong pelaksanaan MLFF secara business-to-business (B2B) tanpa penglibatan langsung kerajaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menegaskan, kerajaan komited melaksanakan MLFF bagi menyelesaikan masalah kesesakan dan isu keselamatan di plaza tol.
Bagaimanapun, ia hanya dapat dimuktamadkan selepas akta terbabit dipinda.
“Kita kena pindah akta. Itu yang menjadi kelewatan dan pindah akta ini mungkin tahun depan, Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan, Akta LLM apakah antara perkara yang akan dipinda iaitu tentang kesalahan tidak membayar tol maklumlah palang tol dah tak ada mereka lalu sahaja.
“Nanti akhirnya mereka tak bayar dan sebagainya. Dan satu lagi ialah siapakah yang nak melaksanakan kemungkinan besar LLM yang akan melaksanakan dari segi penguatkuasaan,” katanya.
Datuk Seri Dr. Ahmad menjawab soalan tambahan daripada wakil Wangsa Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, MLFF menjadi keutamaan kerajaan selepas mengambil kira dua faktor utama kesesakan serius di plaza tol terutama pada musim perayaan dan hujung minggu, serta risiko kemalangan yang turut mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.
Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya MLFF dilaksanakan secara ‘business-to-business’ (B2B) tanpa penglibatan kerajaan, namun pelaksanaannya memerlukan pindaan kepada beberapa undang-undang.