KUALA LUMPUR, 4 Disember – Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11), bakal dilaksana tahun depan, di tiga lagi sekolah Orang Asli.
Kesediaan Kementerian Pendidikan (KPM) itu, bagi membantu mengurangkan keciciran murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan program menawarkan pendidikan selama 11 tahun bermula Darjah Satu hingga Tingkatan Lima dalam premis dan pentadbiran yang sama, diperluas ke SK Jernang, Perak, SK Satak, Pahang dan SK Datuk Undang Abdullah, Negeri Sembilan.
“Menerusi program itu, kadar transisi murid Orang Asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu meningkat daripada 89 peratus pada 2023 kepada 94.7 peratus, tahun ini.
“KPM komited memastikan komuniti orang asli mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Ke arah itu Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di Kuala Lipis telah diangkat sebagai pusat kecemerlangan pedagogi Orang Asli,”katanya ketika menjawab soalan Senator Shahrol Wizan Sulong di Dewan Negara.