TLDM selamatkan nelayan Indonesia hanyut di perairan Pulau Jarak

IPOH, 4 Disember – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan dua nelayan warga Indonesia selepas bot yang mereka naiki hanyut di laut berhampiran Pulau Jarak, Selat Melaka, dekat Lumut.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan, bot nelayan dari Belawan, Indonesia itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sejak 28 November lalu semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Kapal Diraja (KD) Kinabalu yang sedang melaksanakan rondaan operasi di perairan sekitar Pulau Jarak pada awalnya mengesan sebuah bot nelayan terapung sebelum mendekati untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikemudi oleh dua nelayan Indonesia dan mengalami kerosakan enjin. Bantuan teknikal untuk membaiki enjin telah diberikan, namun tidak berjaya berikutan kerosakan serius dan memerlukan alat ganti.

“Atas dasar kemanusiaan, bantuan logistik, makanan dan pemeriksaan perubatan awal turut diberikan dengan sewajarnya. Kedua-dua nelayan berkenaan kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan tersebut.

Hey there! Ask me anything!