KOTA KINABALU, 5 Disember – Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menzahirkan kesedihan dan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Tun Musa menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, semasa hayatnya, allahyarham telah memberi sumbangan besar kepada Sabah, khususnya menerusi peranan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Kinabatangan.
“Sudah tentu dalam jangka masa yang panjang itu, beliau telah menaburkan banyak jasa kepada negeri dan negara melalui pelbagai cadangan serta saranan ketika bergelar wakil rakyat.
“Semua jasa yang telah disumbangkan akan tetap dikenang oleh seluruh lapisan rakyat di Sabah,” katanya.
Tun Musa berkata, pemergian tokoh politik veteran itu merupakan satu kehilangan yang dirasai oleh semua pihak yang menghargai sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan allahyarham sepanjang tempoh perkhidmatan awam beliau.
“Semoga kenangan terhadap jasa besar yang disumbangkan kepada negeri dan negara akan terus menjadi dorongan serta ingatan kepada generasi masa kini,” katanya.
Tun Musa sempat menziarahi Allahyarham Bung Moktar itu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu lewat malam tadi. Ketibaannya kira kira pukul 11.40 malam, disambut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alamsekitar Sabah, Datuk Jaferi Ariffin.