KUALA LUMPUR, 5 Disember – Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Gaza di Hatiku@UiTM pada 16 Disember ini bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam.
Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM, Profesor Dr Amer Shakir Zainol berkata, program berkenaan dianjurkan bagi menyemarakkan semula semangat kemanusiaan serta solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini terus berdepan cabaran getir.
Menurut beliau, penganjuran himpunan itu juga bertujuan mendekatkan semula kelompok masyarakat yang semakin kurang cakna terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
“Kita cuba membawa kelompok yang mungkin sudah tidak begitu cakna dengan isu Palestin dan Gaza supaya mereka bersama-sama dengan kita serta seluruh rakyat dalam menyatakan sokongan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan ‘ritme cinta’ dan keprihatinan yang berterusan terhadap Palestin, serta tidak hanya bersuara ketika isu itu tular.
“Paling penting, kita mahu mengekalkan ritme cinta kepada Palestin, cinta kepada Gaza. Kita tidak mahu hanya bersuara ketika sesuatu isu itu hangat, kemudian selepas itu senyap. Walaupun sekarang nampak seolah-olah agak senyap, sebab itu kami cuba menyemarakkan kembali dan berharap program ini dapat diteruskan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap individu mempunyai peranan tersendiri dalam menyokong usaha pembebasan Palestin, meskipun melalui sumbangan kecil.
Himpunan Solidariti Gaza di Hatiku@UiTM dijangka menghimpunkan warga UiTM, masyarakat setempat serta pelbagai pertubuhan kemanusiaan bagi mengukuhkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.