Usahawan perlu manfaatkan platform digital secara optimum

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Syarikat perniagaan yang menggunakan platform digital untuk meningkatkan jualan perlu memiliki tahap celik digital yang mencukupi, agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi baharu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kesediaan dan pemahaman terhadap penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) adalah faktor penting untuk memastikan perniagaan dapat bersaing dan berkembang dalam pasaran digital global.

Menurutnya, masih ramai usahawan kecil dan sederhana yang belum benar-benar memahami potensi teknologi, menyebabkan mereka sukar memanfaatkan platform digital untuk perniagaan secara optimum.

“Mereka harus tahu sejauh mana teknologi boleh membantu perniagaan menerusi platfrom berkaitan AI dan sebagainya. Sebab itu infrastruktur digital yang selamat dan dipercayai amat penting. Selain itu, bakat dan kesedaran juga penting bagi memastikan penggunaan teknologi ini berkesan.” katanya selepas Persidangan Perang Perniagaan Digital dan Kecerdasan Buatan 2026.

Tambahnya, mewujudkan ekosistem digital yang kukuh memerlukan kerjasama kerajaan, industri dan perniagaan sendiri bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dilaksana secara menyeluruh.

Pembangunan bakat digital dan peningkatan literasi teknologi juga perlu dipergiat bagi memastikan lebih banyak perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan ekonomi berasaskan data, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam era AI.

Hey there! Ask me anything!