SAMARAHAN, 29 November – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dua individu asing berjaya melepasi pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa dokumen sah seperti tular dalam sebuah video di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata hasil siasatan mendapati lokasi dalam rakaman tersebut bukan kaunter imigresen seperti didakwa, sebaliknya kawasan pemeriksaan masuk ke pesawat.
Beliau turut menjelaskan pakaian seragam anggota dalam video itu bukan milik Jabatan Imigresen Malaysia, tetapi polis bantuan. Semakan lanjut menunjukkan dua individu berkenaan merupakan warga Bosnia dan warga China, kedua-duanya memegang dokumen perjalanan sah serta direkodkan masuk melalui laluan yang betul.
“Kita semak, paspot mereka itu adalah paspot yang sah. Ada rekod kita,” katanya selepas Majlis Penutupan Kampung Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Kampung Sindang, Kota Samarahan.
Datuk Seri Saifuddin menegaskan dakwaan bahawa sesiapa sahaja boleh melepasi sempadan negara tanpa kawalan adalah tidak benar. Kementerian kini meneliti motif serta peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu yang memuat naik video berkenaan.
Individu sama sebelum ini turut membuat dakwaan serupa ketika berada di Thailand, namun semakan menunjukkan semua pergerakan masuk dan keluar negara dilakukan secara sah.