Viper Niza Racing sasar podium dalam Michelin 12H Malaysia di Sepang

SEPANG, 4 Disember– Pasukan Viper Niza Racing kini bersedia mengharungi cabaran dalam perlumbaan ketahanan Michelin 12H Malaysia, yang buat pertama kali menjadi hentian Asia Timur bagi 24H Series Middle East Trophy 2025/2026.

Tiga pelumba negara, Douglas Khoo, Melvin Moh dan Dominic Ang akan mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 Evo.

Douglas berkata perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang memberi kelebihan penting kepada keseluruhan pasukan.

“Ini litar rumah kami. Sudah tentu sasaran kami ialah podium — sama ada tempat pertama, kedua atau ketiga. Semua pemandu, mekanik dan kru ialah rakyat Malaysia. Kami bangga membawa cabaran negara di Sepang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan cabaran lebih besar susulan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan potensi hujan pada beberapa sesi.

“Kami pernah berlumba dalam keadaan basah di sini, jadi itu sedikit membantu. Namun apa saja boleh berlaku dalam perlumbaan ketahanan. Fokus kami ialah kekalkan pemanduan yang bersih dan konsisten,” tambahnya.

Sebanyak 21 kereta dari Asia, Eropah dan Timur Tengah bakal berentap, menjadikan kategori GT3 antara yang paling kompetitif dalam edisi pembukaan ini.

Perlumbaan di Sepang ini turut menutup tirai musim 2025 buat Viper Niza Racing, selepas kempen yang disifatkan “naik turun” di Eropah termasuk beberapa podium serta dua perlumbaan berakhir dengan DNF.

“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan pencapaian podium musim ini. Apa yang kurang, kami jadikan pengajaran untuk dibawa ke musim 2026,” kata Douglas.

Viper Niza Racing dijadual membuka musim baharu di Lugano, Itali pada Mac depan, selain mempertimbangkan beberapa perlumbaan di Asia sebagai persediaan tambahan.

Michelin 12H Malaysia berlangsung selama dua hari di Litar Antarabangsa Sepang sebagai pembukaan rasmi Trofi Middle East bagi musim 2025/2026.

Hey there! Ask me anything!