Wanita dengan masalah mental dipercayai hilang selepas keluar ke kebun

PADAWAN, 7 Disember – Seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah mental, dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Singai/Simpok tengah hari semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, wanita yang dikenali sebagai Aron Rajak, 57 tahun itu tidak pulang sejak keluar dari rumah pada pukul 12.30 tengah hari.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.16 malam dan tiba di lokasi 15 minit selepas itu.

Mangsa yang memakai singlet putih dan sarung kain juga dimaklumkan mengalami masalah mental. Operasi awal melibatkan pencarian dalam radius 2 kilometer sekitar kebun mangsa dan kawasan bersebelahan, namun sehingga jam 10.30 malam, tiada petunjuk atau penemuan mangsa,” kata kenyataan PGO JBPM.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan sembilan anggota bomba bersama tiga jentera serta sokongan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, PBS Simpok dan penduduk kampung.

Operasi ditangguhkan malam semalam dan pencarian telah disambung semula hari ini.

Hey there! Ask me anything!