WorldSkills Asia Taipei: Anak muda TVET cipta kejayaan cemerlang rangkul 17 pingat

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menamatkan cabaran di WorldSkills Asia (WSA) Taipei 2025 dengan cemerlang apabila meraih 17 pingat keseluruhan yang berakhir semalam.

Seramai 25 wakil negara mengambil bahagian dalam pelbagai bidang kemahiran pada pertandingan yang berlangsung mulai 27 November lalu, sekali gus membawa pulang 5 pingat emas, 5 pingat perak, 4 pingat gangsa serta 3 Medallion for Excellence.

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), berkata, kejayaan itu mengukuhkan reputasi negara dalam bidang tenaga mahir.

“Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa anak muda TVET kita bukan biasa-biasa tetapi juara yang layak berdiri megah di pentas Asia!

“Dari gelanggang pertandingan hingga podium penghargaan, usaha dan ketekunan para peserta akhirnya membuahkan hasil.

“Jalur Gemilang berkibar megah, menjadi simbol kejayaan dan ketabahan wira-wirawati TVET negara,” menurut hantaran JPK di Facebook pada Ahad.

JPK turut berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin minat generasi muda untuk memilih laluan TVET sebagai kerjaya masa depan yang berprestij dan berpendapatan tinggi.

“Ini kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia. Peserta kita menunjukkan disiplin, ketekunan dan standard kemahiran bertaraf antarabangsa,” katanya.

WorldSkills Asia menghimpunkan negara Asia untuk mempromosi kecemerlangan kemahiran, meningkatkan taraf TVET, serta menetapkan penanda aras antarabangsa dalam bidang teknikal dan vokasional.

Pertandingan WSA mengasah bakat belia, menggalakkan inovasi, serta membangunkan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk ekonomi masa depan.

Edisi Taipei tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta daripada lebih 35 negara dan wilayah Asia, menjadikannya antara pertandingan kemahiran terbesar di rantau ini.

Kontinjen Malaysia diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi & Pengurusan) JPK Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali.

Keputusan Penuh Malaysia di WorldSkills Asia Taipei 2025:

Pingat Emas (5): Digital Construction, Cooking, 3D Digital Game Arts, Fashion Technology, Hairdressing

Pingat Perak (5): Electrical Installations, Electronics, IT Software Solutions for Business, Beauty Therapy, Cabinet Making

Pingat Gangsa (4): Welding, Web Technologies, Cyber Security (Team), Carpainting

Medallion for Excellence (3): Mechanical Engineering CAD, Refrigeration & Air-conditioning, Automobile Technology

Semua peserta dijadual pulang dalam masa terdekat selepas tamat keseluruhan acara di Taipei.

Hey there! Ask me anything!