PUTRAJAYA, 4 Disember – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan hampir RM1.4 juta bagi membantu penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara, termasuk Perak, Perlis, Kedah dan Kelantan yang memerlukan bantuan segera.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, program bantuan itu merangkumi dua fasa iaitu keperluan asas, kerja-kerja pemulihan dan pembersihan pasca banjir.
“Kita bekerjasama dengan agensi-agensi setempat serta mendapat input daripada rakan-rakan di peringkat negeri untuk terus membantu golongan yang memerlukan.
“Diharapkan mereka yang menghadapi musibah ini akan mendapat sedikit keringanan daripada bantuan ini, insyaAllah,” katanya.
Bantuan keperluan asas yang akan diagihkan adalah seperti makanan kering, kit kebersihan diri, set keperluan bayi dan wanita serta keperluan kritikal yang lain.
Manakala, bantuan fasa pasca banjir seperti membaik pulih kerosakan rumah dan premis perniagaan, peralatan elektrik, pembekalan air bersih dan sokongan logistik.
Program itu turut melibatkan kerjasama strategik daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Secara keseluruhannya, sejak tahun 1985 hingga Oktober lalu, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM723.3 juta kepada 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.