YSB raih lebih RM1.27 Juta dalam Majlis Santapan Malam Amal 2025

KUALA LUMPUR, 17 November – Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Amal 2025 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Santapan Malam Amal 2025 berjaya mengumpul RM1,257,600 untuk dana pendidikan Yayasan Sultanah Bahiyah.
  • Projek Titian Bistari kini fokus kepada program berteraskan STEM selaras perubahan kurikulum sejak 2019.
  • Sejak penubuhan, hampir RM17 juta dibelanjakan bagi manfaat lebih 500,000 pelajar di Kedah.
  • YSB menyumbang mesin OCT bernilai RM189,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah dan lancar Logo Jubli Mutiara 30 tahun.

Majlis itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM1,257,600 bagi mengukuhkan dana pendidikan YSB, termasuk inisiatif di bawah Projek Titian Bistari (PTB) yang telah dilaksanakan sejak 1999.

PTB kini memberi tumpuan kepada program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selaras dengan perubahan kurikulum yang bermula pada 2019.

Sehingga kini, hampir RM17 juta telah dibelanjakan bagi menyokong pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 500,000 pelajar di Kedah sejak penubuhannya.

Pada majlis sama, YSB turut menyerahkan sebuah mesin Optical Coherence Tomography (OCT) bernilai RM189,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, bagi menggantikan peralatan lama yang tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pesakit.

Mesin baharu itu dijangka mempercepatkan proses pengesanan awal penyakit mata serta mengurangkan masa menunggu pesakit.

Turut berlangsung, pelancaran Logo Jubli Mutiara sempena 30 Tahun YSB, yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Sejak tiga dekad lalu, YSB terus memberi tumpuan kepada enam teras utama merangkumi kebajikan, kesihatan, pendidikan, kebajikan warga emas, pembangunan wanita dan pembangunan belia.

Hey there! Ask me anything!