Pemilihan calon Kinabatangan, Lamag: BN akan runding dengan parti tempatan Sabah

KUALA LUMPUR, 18 Disember – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan dengan pemimpin beberapa parti tempatan di Sabah berhubung pemilihan calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan tidak berhasrat meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan, namun BN perlu mengadakan rundingan dengan parti-parti lain di Sabah bagi memastikan kesepakatan politik yang lebih harmoni.

“Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) kerana memberi pengesahan bahawa GRS tidak akan bertanding dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

“Namun, kita masih mengadakan rundingan dengan beberapa rakan daripada parti-parti tempatan di Sabah dan saya berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) ke-3 di sini, hari ini.

PRK bagi kerusi P187 Kinabatangan dan N58 Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Hari Penamaan Calon pada 10 Januari, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, rundingan berkenaan penting bagi memberi ketenteraman kepada pengundi di Kinabatangan dan Lamag, memandangkan rakyat Sabah baru sahaja melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 pada 29 November lalu.

“Pengundi di Sabah agak keletihan kerana perlu melalui satu lagi proses pilihan raya dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Mengulas kemungkinan anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, Mohd Naim Kurniawan Moktar, dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat induk UMNO atau Dewan Tertinggi BN.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.