KOTA KINABALU, 29 November -Proses pengundian Pilihan Raya Negeri ke-17 di Sabah berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden besar setakat tengah hari.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pemantauan awal di beberapa pusat mengundi menunjukkan perjalanan pengundi teratur sejak pusat mengundi dibuka pada 7.30 pagi.
“Keadaan keseluruhannya baik, teratur dan terkawal. Tidak ada isu besar yang boleh menimbulkan keraguan atau kerisauan kepada rakyat. Tahap disiplin dan sikap matang pengundi Sabah turut membantu kelancaran proses demokrasi pada hari ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di sini hari ini.
Datuk Seri Mohd Khalid berkata, hingga 12.00 tengah hari, pihaknya menerima 157 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya, kebanyakannya melibatkan perbuatan mencabut bendera, khianat terhadap poster serta provokasi politik.
Daripada jumlah itu, sebanyak 86 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut dan dirujuk kepada TImbalan Pendakwa Raya bagi penentuan arahan seterusnya.
“Kita juga merujuk beberapa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan satu kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), melibatkan isu di media sosial seperti fitnah dan provokasi,” katanya.