KUALA LUMPUR, 4 Disember – Selangor FC mengekalkan rekod tanpa kalah pada Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN (ACC) 2025/2026 selepas terikat 1-1 dengan pasukan Filipina, Dynamic Herb Cebu, di Stadium Memorial Rizal, Manila pada Rabu.
Skuad Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan dominasi, namun percubaan mereka gagal menjaringkan gol.
Benteng pertahanan Selangor diuji pada penghujung babak pertama apabila Esrom Paulos melepaskan rembatan kencang, tetapi penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi berjaya menafikan.
Gol pembukaan berlaku pada minit ke-47 apabila sepakan penjuru Paulos ditanduk masuk oleh Abou Sy, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan. Selangor kemudian menyamakan kedudukan melalui Willian Lira yang menolak hantaran lintang Picha Autra, menewaskan penjaga gol Rami Jeridi.
Selepas itu, kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang, namun tiada tambahan gol, sekali gus perlawanan berakhir seri 1-1. Dengan keputusan ini, Selangor mengumpul lima mata daripada satu kemenangan dan dua seri, manakala Dynamic Herb Cebu mencatat mata pertama mereka dalam saingan.