ACLE: JDT tidak pandang mudah cabaran Shanghai Port FC

JOHOR, 8 Disember – Kelebihan beraksi di laman sendiri wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE) menentang Shanghai Port FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Seandainya JDT berjaya meraih tiga mata penuh dalam aksi tersebut maka kedudukan skuad Harimau Selatan dalam Kumpulan A ACLE boleh dianggap selesa untuk ke peringkat seterusnya.

Ketika ini JDT berada di kedudukan ketujuh kumpulan manakala Shanghai Port FC tercorot tanpa sebarang kemenangan selepas lima perlawanan berlangsung.

Berdasarkan format kejohanan hanya lapan pasukan terbaik setiap kumpulan layak mara ke saingan kalah mati.

Bagi Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, cabaran sengit dijangka dipamerkan oleh pasukan pelawat dalam usaha mendapatkan kemenangan sulung.

Beliau juga berharap agar pemain skuad Harimau Selatan dapat menyerap tekanan dengan baik selain berusaha mendapatkan gol awal

“Esok mereka akan hadir dengan intensiti tekanan tinggi dan tidak akan memberi kami banyak ruang menguasai bola.

“Berbeza dengan liga tempatan kerana kami mempunyai ruang untuk merancang dan mencipta gerakan. Namun kami tetap positif kerana pasukan sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik,” kata Xisco Munoz.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Shanghai Port FC, Kevin Muscat, berpendapat pasukannya belum mencapai kualiti optimun namun tekad menutup saingan dengan aksi lebih mantap.

“Ini perlawanan yang memerlukan kami berusaha untuk mendapatkan mata maksimum.

“Kami belum mencapai tahap yang diharapkan sepanjang musim ini, namun kami akan berusaha sehabis baik dalam perlawanan kali ini,” jelas Kevin Muscat.

Hey there! Ask me anything!