Ajith Kumar kembali ke SIC selepas 20 tahun

SEPANG, 3 Disember – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menyaksikan kemunculan semula Ajith Kumar dalam perlumbaan endurance selepas lebih 20 tahun sejak penampilan terakhirnya di sini pada 2003.

Pemandu berpengalaman itu akan menghadapi cabaran baru dengan kereta baharu dan dua hujung minggu perlumbaan berturut-turut, termasuk penampilan sulungnya dalam Asian Le Mans Series di litar yang sama pertengahan bulan ini.

Ajith turut berkongsi pandangan dengan jelas tentang bagaimana pasukan mengekalkan fokus mereka, kepentingan ruang privasi, serta cabaran mengimbangi tumpuan perlumbaan dengan tekanan daripada peminat yang ramai.

Beliau turut memberikan pandangan awal mengenai kereta baharu dan perbezaan kokpit berbanding apa yang dipandunya dua dekad lalu.

“Dengan adanya jentera baharu bagi saingan pembuka tirai musim, saya sangat menantikan perlumbaan hujung minggu ini,” kata Ajith yang meluangkan masa bersama RTM selama 15 minit di tengah-tengah ‘pit’.

Hujung minggu ini, Sepang menjadi tuan rumah siri 24H Series Middle East Trophy buat pertama kalinya di Asia Timur, dengan 21 kenderaan dijangka bersaing.

Antara pasukan tempatan yang menonjol ialah Viper Niza Racing, yang akan memandu Mercedes-AMG GT3 Evo dengan pemandu Douglas Khoo, Melvin Moh dan Dominic Ang.

Mengikut jadual rasmi, sesi kelayakan dijadualkan pada pukul 4.00 petang pada Jumaat, diikuti perlumbaan 12 jam pada pagi Sabtu.

Selain itu, Ajith turut dijadualkan membuat penampilan sulungnya dalam kategori Le Mans Prototype (LMP3) di Asian Le Mans Series – 4 Hours of Sepang pada 13 dan 14 Disember dengan Team Virage, memandu Ligier-Toyota bersama Narain Karthikeyan, pemandu Formula 1 pertama India.

Menurut penganjur, siri Asian Le Mans tahun ini akan menampilkan 48 kenderaan, termasuk 16 LMP2, 10 LMP3 dan 22 LMGT3, meningkat kira-kira 15 peratus berbanding acara tahun lepas di SIC.

Dengan gabungan pemandu veteran dan bakat muda dari Asia, Eropah, dan Timur Tengah, perlumbaan hujung minggu ini dijangka menyajikan aksi penuh ketegangan dan strategi, menandakan kepulangan Ajith ke Sepang bukan sekadar nostalgia, tetapi juga pertemuan sengit dengan cabaran masa kini dalam dunia permotoran.

Hey there! Ask me anything!