Atlet diingat elak media sosial, kekal fokus sepanjang Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR, 3 Disember -Atlet negara diingatkan supaya mengehadkan penggunaan telefon pintar dan menjauhi komen negatif di media sosial sepanjang Sukan SEA Thailand 2025 bagi memastikan fokus kekal optimum.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, gangguan sedemikian boleh merosakkan tumpuan yang dibina selepas berbulan-bulan menjalani latihan intensif.

“Bila pergi nanti, kurangkan masa main telefon dan media sosial.
Kurangkan baca komen (warga maya) yang mungkin tidak memahami keadaan anda.

Pelaburan berbulan-bulan akan sia-sia kalau tumpuan hilang hanya kerana satu dua komen daripada akaun palsu,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13, di sini.

Hannah turut mengingatkan atlet supaya menjaga disiplin, mematuhi waktu rehat dan mengelakkan isu logistik seperti yang pernah berlaku pada temasya terdahulu.

Jelas beliau, ini adalah masa terbaik untuk atlet membalas kepercayaan negara yang sentiasa menjaga kebajikan mereka.

“Kerajaan sudah lakukan yang terbaik. Kini saya mahu atlet melakukan yang terbaik apabila tiba masa melaksanakan tanggungjawab anda,” katanya.

Tambah beliau rakyat tidak menilai jumlah sasaran pingat semata-mata, tetapi melihat kesungguhan atlet ketika tampil di gelanggang.

“Yang paling sukar dijawab ialah apabila atlet sudah menerima segala kemudahan tetapi tidak memberikan pertaruhan yang kuat ketika bertanding.

Rakyat boleh lihat sama ada anda beri yang terbaik atau tidak,” ujarnya lagi.

Seramai 1,147 atlet bakal membawa cabaran negara ke Thailand, dengan 47 peratus daripadanya adalah atlet acara berpasukan.

Penyertaan besar itu sebahagian strategi jangka panjang untuk memantapkan kekuatan negara menjelang Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Hey there! Ask me anything!