Barca atasi Atletico, lebur rekod tanpa kalah Los Colchoneros

BARCELONA, 3 Disember – Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Atletico Madrid dalam aksi LaLiga.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah pelawat sejak Ogos dan mengujuhkan kedudukan Barca di persada liga.

Kemenangan hasil jaringan Raphinha, Dani Olmo dan Ferran Torres itu meletakkan Barca mengumpul 37 mata, empat mata di depan Real Madrid yang bakal berkunjung ke San Mames menentang Athletic Bilbao pada Rabu.

Atletico pula kekal di tangga keempat dengan 31 mata selepas hadir ke Camp Nou membawa rekod tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan.

Atletico membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi serangan balas yang disempurnakan Alex Baena, namun Barca segera menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian apabila Raphinha menyambar hantaran cantik Pedri di dalam kotak penalti.

Kesabaran Barcelona membuahkan hasil pada minit ke-65 apabila Dani Olmo memanfaatkan peluang di dalam kawasan penalti untuk meledak rembatan, namun mengalami kecederaan ketika menjaringkan gol berkenaan.

Torres kemudian mengesahkan kemenangan Barca selepas menyudahkan satu lagi gerakan serangan balas pada masa kecederaan.

Pengendali Barcelona, Hansi Flick menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Atletico Madrid sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha pasukan kembali ke prestasi terbaik musim ini.

Aksi berdepan Atletico membuktikan peningkatan ketara dalam semua aspek permainan yang telah ditekankan selepas perlawanan sebelum ini.

“Saya selalu katakan, ini adalah langkah demi langkah. Perlawanan hari ini merupakan satu lagi langkah penting. Kami jelaskan bahawa kami sedang kembali ke tahap terbaik, dan prestasi hari ini sangat meyakinkan.

“Kami akan bertemu Betis pada Sabtu, satu lagi pasukan yang kuat. Kami mahu menunjukkan kemampuan sebenar di sana. Setiap perlawanan, kami berusaha untuk menang walaupun ia bukan mudah. Tetapi kami tetap mencuba,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun tewas.

“Saya suka cara pasukan bermain hari ini. Saya tenang kerana para pemain telah memberikan segalanya. Mereka bersaing dengan baik, memberi tekanan dan cuba memecahkan benteng pertahanan lawan lebih kerap berbanding perlawanan lain.

“Tahun lalu kami menang 2-1 di sini, tetapi sejujurnya mereka layak menang 5-2. Hari ini kami bermain untuk keputusan lebih baik, tetapi tidak berjaya. Itulah bola sepak. Mereka menjaringkan tiga gol dan kami hanya satu. Mereka memang layak menang,” katanya.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!