Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali beraksi pada Terbuka Australia

KUALA LUMPUR, 11 November – Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dijangka kembali beraksi dalam Terbuka Australia di Sydney dari 18 hingga 23 November ini selepas Tang Jie pulih daripada kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada Masters Kumamoto, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chen Tang Jie sudah pulih fizikal dan kembali berlatih, walaupun masih menyesuaikan intensiti tinggi.
  • Masalah utama kini ialah timing dan feeling pada smash yang belum pulih sepenuhnya.
  • Pasangan juara dunia itu dianggap harapan utama Malaysia dalam beregu campuran di Terbuka Australia.
  • Turun beraksi di Sydney penting sebagai persiapan menjelang Sukan SEA Thailand.

Ketua Jurulatih Beregu Campuran Negara, Nova Widianto berkata, Tang Jie kini sudah pulih secara fizikal dan sudah memulakan latihan seperti biasa namun masih membiasakan diri bagi latihan berintensiti tinggi.

“Untuk latihan lain semuanya sudah okey, sama seperti biasa. Cuma smash saja yang masih kurang selesa sedikit lebih kepada timing dan feeling-nya. Tapi secara keseluruhan sudah normal, cuma kita perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul sakit semula menjelang kejohanan di Terbuka Australia.

“Kalau dari segi keadaan fizikal, dia sudah pulih. Yang belum kembali sepenuhnya cuma timing dan feeling-nya. Dari segi latihan, semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Pasangan juara dunia itu dilihat sebagai harapan utama Malaysia bagi mengekalkan prestasi cemerlang dalam kategori campuran.

Kehadiran Tang Jie-Toh Ee Wei pada kejohanan itu menjadi persiapan penting sebelum Sukan SEA Thailand, susulan mereka dijangka kembali menjadi taruhan utama skuad negara dalam kategori campuran.

Terdahulu, Tan jie mengalami cederaan bahu ketika beraksi di Terbuka Perancis hingga menyebabkan beregu itu menarik diri di Master Kumamoto Jepun.

Hey there! Ask me anything!