City tidak boleh lagi kalah untuk saingan kejuaraan EPL – Guardiola

LONDON, 29 November – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan pasukannya tidak boleh melakukan lebih banyak kesilapan jika mahu terus bersaing untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kekalahan kepada Newcastle hujung minggu lalu merupakan kekalahan keempat City musim ini, menyaksikan juara bertahan itu kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Arsenal, yang hanya tewas sekali dalam 12 perlawanan.

“Kami tidak boleh lagi kalah. Itu hakikatnya,” kata Guardiola pada Jumaat.

“Mereka (Arsenal) sangat kuat dan memenangi perlawanan dengan cukup konsisten. Mereka kukuh, sama seperti Liverpool ketika menjadi pencabar utama kami sebelum ini dan jarang sekali tercicir mata. Sebab itu kami perlu sentiasa berada dekat.”

Mengulas aksi di St James’ Park, Guardiola berpendapat City sebenarnya bermain baik namun tetap tewas.

“Sekarang kami perlu dapatkan semula rentak kemenangan kerana musim masih panjang,” katanya.

City turut melalui malam mengecewakan di Liga Juara-Juara Eropah, apabila membuat 10 pertukaran dalam kesebelasan tetapi tewas 2-0 kepada Bayer Leverkusen. Guardiola mengakui pemainnya terlalu berhati-hati.

“Kami tidak mencuba. Dalam bola sepak, anda perlu berani mencuba sesuatu, tetapi kami bermain terlalu selamat,” ujarnya.

Beliau turut mengakui beberapa pemain kurang keyakinan tetapi tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap mereka.

“Saya lebih yakin terhadap kemampuan mereka berbanding keyakinan mereka terhadap diri sendiri,” katanya.

Mengulas reaksi penyokong yang kurang bersemangat ketika aksi menentang Leverkusen, Guardiola berkata:

“Sebagai peminat, saya sendiri mungkin tidak akan bersorak melihat corak permainan seperti itu. Saya tidak salahkan mereka.”

City akan berdepan Leeds United pada Sabtu dan masih tanpa tonggak tengah, Rodri namun Guardiola menjangkakan pemain Sepanyol itu bakal pulih tidak lama lagi. -AFP

Hey there! Ask me anything!