LONDON, 8 Disember – Crystal Palace melonjak ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham 2-1, manakala Brighton mengekang West Ham daripada melepasi zon penyingkiran melalui keputusan seri 1-1 pada Ahad.
Gol kemenangan lewat daripada pertahanan England, Marc Guehi di Craven Cottage membawa Palace mengatasi Chelsea dan Everton, sekali gus membuka peluang kelayakan Liga Juara-Juara.
Palace terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-20 menerusi Eddie Nketiah menewaskan penjaga gol Bernd Leno dengan rembatan tepat.
Fulham bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-38 melalui Harry Wilson dengan rembatan cantik menewaskan penjaga gol Palace, Dean Henderson.
Palace memanfaatkan peluang pada minit ke-87 apabila Guehi menyempurnakan tandukan dari sepakan penjuru untuk gol kemenangan.
Di Amex Stadium, West Ham hampir melepasi zon penyingkiran hasil jaringan kedua Jarrod Bowen, namun Georginio Rutter menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk Brighton, mengekalkan West Ham di kedudukan ke-18.
Pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo, mengecam keputusan VAR yang membenarkan gol Rutter, menyifatkan ia tidak adil.
“Ini jelas, saya nampak, semua nampak. Sukar untuk diterima selepas usaha keras para pemain,” katanya.-AFP